Thursday, 9 August 2012

Akhil Hayy nasihat artis usah beria-ia kempen politik

alt
Penyanyi lagu-lagu berunsurkan dakwah Akhil Hayy mengingatkan para artis yang melakukan penghijrahan ke arah kerohanian agar berhati-hati dengan beberapa golongan politik yang mengambil kesempatan atas perubahan yang dilakukan demi kepentingan tertentu.
“Kalau saya cakap, pasti ada pihak yang marah nanti. Tetapi ia pernah berlaku kepada diri saya ketika mula-mula penghijrahan saya dulu di mana ada sesetengah pihak yang menggunakan saya kononnya untuk ditemu bual dalam sesebuah taklimat. Lain pula jadinya apabila majlis taklimat yang dianjurkan itu akan berubah menjadi kempen menyerang mana-mana parti yang tidak disukai mereka.
“Memang digalakkan untuk berkongsi pengalaman hijrah kita kerana ia juga salah satu permulaan dakwah, tetapi kita mesti bijak menyampaikan kata-kata tanpa sebarang pengaruh daripada persekitaran yang mungkin menekankan isu-isu politik,” katanya.
Namun, Akhil tidak menafikan menjadi hak setiap artis bewarganegara Malaysia untuk menyertai atau menyokong mana-mana parti politik. Akan tetapi,  golongan artis yang berhijrah ini diminta berfikir agar tidak terkeliru dengan perubahan yang dilakukan sehingga tidak fokus dalam meningkatkan ilmu kerohanian pada diri sendiri sehingga mementingkan agenda politik mengatasi Agama.
“Saya rasa, usahlah kita beria-ia berkempen tentang hal politik kerana itu bukanlah kepakaran kita. Walaupun Islam ada perjuangan politiknya, tetapi sebagai umat Islam yang kembali ke fitrah asal, biarlah kita mendalami ilmu agama terlebih dulu sebelum ingin berdakwah atau membetulkan kesalahan orang lain. Saya faham, apabila sudah berubah ke landasan yang betul, terdapat satu semangat dan ketenangan yang membuatkan seseorang itu begitu berkobar-kobar mahu berkongsi perasaan itu.
“Saya juga begitu, tetapi seperti yang saya katakan, dalami ilmu agama Islam itu secukup-cukupnya sebelum melangkah ke fasa lain pula,” ujarnya.
Bob Lokman, Abby Abadi dan Aisyah merupakan antara artis yang berhijrah ke arah kebaikan yang kini bergiat aktif dalam politik. Namun, beberapa artis yang terlebih dahulu melakukan perubahan seperti Noorkumalasari dan Aida Rahim dilihat tidak berminat menceburi bidang tersebut.-klpos

P/s : sepatutnya mmg begitu....dengarlah nasihat ini wahai penghijrah...

0 comments:

.

.