Tuesday, 14 August 2012

Karpal Singh jangan masuk campur Hudud- Perkasa


KUALA LUMPUR - Perkasa menasihatkan bukan Islam tidak mencampuri hal berkaitan Islam terutamanya isu hudud yang dicadangkan oleh Pas dan beberapa pemimpin Umno.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin bukan Islam jangan mempersoalkan hudud kerana setiap yang akan dilakukan akan dipilih oleh majoriti rakyat Malaysia.

Menurutnya, Malaysia adalah negara demokrasi dan rakyat berhak membuat keputusan atas sesuatu perkara yang akan dilakukan dalam negara termasuk perkara-perkara yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan.
"Kita minta, orang bukan Islam yang lantang berbicara mengenai hukum hudud ini supaya berdiam seketika untuk mencari jalan penyelesaian dan cara terbaik untuk mendapat penjelasan mengenai isu ini.
"Hudud bukan undang-undang yang zalim tapi ia sesuai untuk semua, masyarakat bukan Islam tak perlu merasa tergugat," katanya kepada sidang media di pejabatnya dekat sini hari ini.

Sebelum ini, isu hudud telah dicadangkan oleh pemimpin Pas untuk dilaksanakannya jika berjaya menawan Putrajaya walaupun  Pakatan Rakyat yang lain tidak bersetuju dalam pelaksanaan itu.
Lebih sebulan lalu, wakil rakyat Umno dari Johor juga menyuarakan hasrat agar diadakan undang-undang hudud di negeri itu.

Pelbagai reaksi telah timbul ekoran isu hudud diperbangkitkan oleh semua parti politik negara.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, orang Islam tidak seharusnya berlembut hati dan bertolak ansur sekiranya hukum-hukum ALLAH dipermainkan oleh kaum beragama lain.
"Kita boleh bertolak ansur untuk isu lain, tapi hukum ALLAH dan hal yang bersangkut dengan agama Islam jangan biarkan orang lain permainkannya.

"Jangan kita berpakat dengan orang seperti itu, kerana yang akan menang adalah orang lain," katanya lagi. - sinar harian

0 comments:

.

.