Thursday, 23 August 2012

Padah geng sorok susu celah kangkang

Enam anggota 'Geng Susu Kangkang' yang disyaki terbabit dalam 17 kes mencuri susu tepung berjenama sejak 2010 di Lembah Klang, berjaya diberkas polis dalam serbuan pada 16 dan 17 Ogos lepas.
 
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab. Rashid Ab. Wahab berkata turut ditahan tujuh individu bersubahat termasuk dua pemilik kedai yang membeli susu berkenaan.
 
Penangkapan pertama membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita di sebuah kedai serbaneka di Batu 9, Cheras ketika mereka mencuri 160 kotak susu tepung bernilai RM12,800 dari kedai berkenaan pada pukul 4.30 petang.
   
"Susulan penahanan itu, pada hari yang sama, membawa polis ke sebuah kedai ubat di Kuchai Lama sebelum menahan lima lelaki, dua daripadanya dipercayai pemilik kedai berkenaan yang membeli susu-susu daripada geng itu," katanya ketika dihubungi.
   

Beliau berkata dua wanita warga Indonesia, dipercayai pembantu kedai turut ditahan.

Keesokannya polis menahan dua lelaki dari Sabah, yang merupakan anggota geng terbabit di Klang, menjadikan tangkapan keseluruhan 13 orang, berumur antara 20 dan 48 tahun.
 
Ab. Rashid berkata geng itu dikesan menggunakan modus operandi sama dengan kecurian susu berjenama di Perlis dan Kedah beberapa bulan lalu, iaitu dengan memasukkan kotak-kotak susu tepung berjenama yang dicuri ke dalam jubah mereka sebelum keluar dari kedai.
 
"Sebahagian anggota geng akan menunggu di luar kedai dengan membawa parang, penyembur lada sulah dan batang besi yang akan digunakan sekiranya anggota geng yang berada di dalam kedai itu dihalang pekerja kedai," katanya.
 
Ab. Rashid berkata pekerja terpaksa berdiam diri kerana bimbang keselamatan diri terancam.
 
Katanya susu tepung berjenama yang berharga RM80 sekotak dijual separuh daripada harga pasaran. -Bernama

0 comments:

.

.