Friday, 20 January 2017

Akidah yang Benar



Syariat mengajarkan akidah dan peraturan yang benar. Rasulullah s.a.w menolak ketuhanan Isa al-Masih, Uzair dan patung-patung kerana ia bertentangan dengan akidah yang diajarkan oleh syariat.

Rasulullah s.a.w menolak keislaman puak Taqif yang meminta dikecualikan daripada mengerjakan sembahyang kerana ia menyalahi peraturan syariat. Abu Bakar as-Siddik memerangi Musailamah bin Hatib yang mendakwa menjadi nabi kerana dakwaan demikian menyalahi akidah yang diajarkan oleh syariat.

Abu Bakar as-Siddik juga memerangi kaum Muslimin yang enggan mengeluarkan zakat selepas Rasulullah s.a.w wafat, kerana perbuatan demikian menyalahi peraturan syariat. Tentera Islam berperang, membunuh dan dibunuh kerana menyebarkan syariat.

Sekali lagi diperingatkan maksud syariat adalah syariat zahir dan syariat batin, meliputi perkara-perkara seperti Islam, iman, perbuatan tubuh badan dan amalan hati. Al-Quran mengajarkan supaya beriman dan beramal salih, jangan dipisahkan keduanya. Tidak ada amal salih tanpa iman. Tidak berdiri iman tanpa amal salih.

Rasulullah s.a.w memiliki dua jenis ilmu.

1. Pertama adalah ilmu yang mengenai hukum hakam dan peraturan, dinamakan ilmu ahkam.
2. Kedua adalah ilmu mengenai perkara ghaib, rahsia dan misteri, dinamakan ilmu asrar.

Ilmu ahkam biasanya dipanggil ilmu fikah dan ilmu asrar dipanggil ilmu tasauf. Istilah ilmu fikah dan ilmu tasauf digunakan selepas zaman Rasulullah s.a.w. Pada zaman baginda s.a.w yang dikenali hanya satu ilmu sahaja iaitu ilmu al-Quran.

Dalam ilmu al-Quran ada bahagian fikah iaitu peraturan dan hukum dan ada bahagian tasauf iaitu perkara ghaib dan kerohanian. Rasulullah s.a.w menyampaikan kedua-dua jenis ilmu tersebut kepada sahabat baginda s.a.w secara bersama, bukan terpisah.

Para sahabat pula memperturunkannya kepada generasi yang datang kemudian. Ulama yang menerima kedua-dua jenis ilmu tersebut dinamakan pewaris nabi. Memiliki satu aspek sahaja tidak dinamakan pewaris.

Ulama yang mengambil bahagian hukum dan peraturan sahaja dinamakan ulama zahir, masih jauh lagi untuk bergelar ulama syariat. Ulama yang mengambil bahagian zahir dan batin itulah yang benar-benar menjadi ulama syariat, pewaris nabi.

Bersambung...

0 comments:

.

.