Wednesday, 18 January 2017

FAHAMAN DAN PEGANGAN YANG BENAR



Manusia yang berada di atas jalan yang benar ada dua golongan. Golongan pertama adalah ahli fikah yang berjiwa tasauf dan keduanya adalah ahli tasauf yang berjalan di atas landasan fikah.

Berpegang kepada salah satu di antara fikah dan tasauf bermakna berpegang kepada separuh daripada kebenaran. Berpegang kepada fikah semata-mata dengan menolak tasauf bermakna mengambil bahagia zahir syariat sahaja.

Berpegang kepada tasauf dengan membuang fikah bermakna mengambil batin syariat sahaja. Berpegang kepada zahir syariat tanpa batinnya dibolehkan dan sudah memadai untuk diiktiraf sebagai orang Islam tetapi pegangan yang demikian tidak sempurna.

 Berpegang kepada batin syariat sahaja tanpa zahirnya adalah tidak mungkin, kecuali mereka yang sedang dikuasai oleh jazbah. Mereka yang demikian dimaafkan.

 Kesempurnaan syariat adalah gabungan zahir dan batinnya.

Istilah syariat hendaklah diberi definasi yang lengkap dan benar. Syariat mengandungi tarekat, hakikat dan makrifat.

tarekat, hakikat dan makrifat bukanlah sesuatu yang di luar syariat atau lain daripada syariat. Tindakan mengasingkan syariat, tarekat, hakikat dan makrifat menjadi jalan menjalarnya kekeliruan dalam masyarakat.

Kaum Muslimin haruslah sedar bahawa tarekat adalah satu bahagian daripada syariat. Demikian juga hakikat dan makrifat. Syariat adalah umpama air yang mengalir dan menghidupkan tarekat, hakikat dan makrifat.

Tarekat, hakikat dan makrifat yang tidak dibasahi oleh air syariat adalah umpama pokok yang ditanam di atas batu, tidak ada air menghidupkannya. Syariat adalah umpama nyawa yang memberi kehidupan kepada tarekat, hakikat dan makrifat.

Bersambung......

0 comments:

.

.