Sunday, 22 January 2017

Fana vs Sadar



Sebahagian orang menyangka ilmu tentang Kebenaran Hakiki iaitu ilmu asrar bermaksud ilmu mengenai wahdatul wujud, kesempurnaan Yang Satu dalam yang banyak dan yang banyak dalam Yang Satu, fana, bersatu dengan Tuhan dan baqa bersama Tuhan.

Fahaman yang demikian adalah tidak benar. Doktrin wahdatul wujud dan yang seumpama dengannya masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Wahdatul wujud adalah hasil daripada kefanaan dan mabuk.

Rasulullah s.a.w tidak memasuki suasana fana dan mabuk. Ilmu yang baginda s.a.w bawa adalah ilmu yang muncul dalam kesedaran bukan kelupaan. Ilmu kenabian adalah umpama lautan yang luas. Ilmu kewalian sufi yang kefanaan adalah umpama satu titik air, tetapi bagi orang yang tercampak di padang pasir satu titik air sangat memberi erti kepadanya.

Ada orang menyangka kefanaan lebih tinggi daripada kesedaran. Mungkin mereka memandang kepada kesedaran orang awam. Jika mereka melihat kepada kewalian yang telah sempurna di atas jalan kenabian tentu mereka dapat melihat bahawa Kebenaran Hakiki muncul dalam kesedaran, bukan dalam kefanaan.

 Kewalian yang sempurna bukanlah yang fana terus menerus tetapi adalah yang kembali kepada kesedaran biasa dan meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. Ketika di dunia ini berbakti kepada Tuhan lebih utama daripada fana dalam-Nya.

 Ahli makrifat yang sempurna adalah yang makrifatnya dihidupkan oleh air syariat dan mereka melibatkan diri di dalam kegiatan masyarakat sehingga ke akhir hayat mereka.

Golongan ini tidak mendakwa melihat Tuhan dalam dunia. Mereka mengakui bahawa melihat Tuhan hanya mungkin di akhirat. Mereka melihat maut sebagai jambatan buat mereka sampai kepada Kekasih mereka.

Bersambung............                   

0 comments:

.

.