Monday, 30 January 2017

Tuhan - Makhluk



Tarekat sufi hendaklah dijadikan jalan untuk mencapai tahap yang diperolehi oleh para sahabat Rasulullah s.a.w, bukan untuk menyingkap misteri alam dan kehidupan atau untuk memperolehi tajalli.

Matlamat sufi mestilah mencari kefahaman yang jelas dan keyakinan yang teguh kepada risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kebenaran yang dibawa oleh Rasul Allah adalah jelas dan muktamad, tidak boleh dicabar oleh ahli falsafah atau pun ahli sufi.

Fikiran, ilham dan kasyaf bukanlah alat untuk mengadakan kebenaran yang lain daripada kebenaran yang telah dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunah.

Risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w memperakui kewujudan benda-benda alam yang memiliki sifat-sifat dan keupayaan, boleh bergerak dan bertindak.

 Tuhan menciptakan makhluk dan dalam penciptaan makhluk itu Tuhan telah meletakkan keupayaan melakukan perbuatan. Perbuatan makhluk adalah ciptaan Tuhan bukan perbuatan Tuhan.

Makhluk menggunakan bakat dan keupayaan yang Tuhan bekalkan kepada mereka bukan makhluk menggunakan perbuatan Tuhan untuk melakukan perbuatan.

Perbuatan Tuhan tidak bersamaan dengan perbuatan makhluk. Tuhan menciptakan makhluk dan sifat-sifat mereka tetapi Tuhan bukanlah alat kepada sifat-sifat tersebut.

Tuhan yang menciptakan perbuatan tetapi bukanlah Tuhan yang bergerak dalam pancaindera makhluk untuk melahirkan perbuatan.

Bersambung.............

Saturday, 28 January 2017

Sohabat Rasulullah S.A.W



     
 Dalam apa juga keadaan para sahabat Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan yang terbaik untuk semua zaman. Kelebihan para sahabat sabagai generasi Muslim yang pertama tidak boleh ditandingi oleh generasi yang datang kemudian.

         Generasi pertama melebihi yang lain kerana mereka memiliki iman yang dilahirkan oleh hubungan secara langsung dengan Rasulullah s.a.w.
Iman yang lahir daripada penyampaian secara langsung oleh baginda s.a.w lebih berkesan dan utama daripada iman yang lahir daripada cara-cara lain.

          Para sahabat tidak melalui fana dan jazbah, tidak ada bersatu dengan Tuhan dan baqa bersama-Nya. Mereka tidak menerima tajalli atau penzahiran Tuhan.

          Kelebihan mereka terletak pada takwa bukan pada kasyaf, tajalli, zauk dan mabuk. Kelebihan mereka adalah kerana mereka mempraktikkan Sunah Rasulullah s.a.w, berperang bersama-sama baginda s.a.w dan menanggung berbagai-bagai kesusahan demi agama Allah s.w.t.

          Mereka mendapat Kebenaran Hakiki dalam kesedaran, melalui bimbingan wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

(Bersambung)

Thursday, 26 January 2017

Kesedaran 'Alam Tinggi'



Ketika sufi dalam proses menaik yang banyak hilang lenyap, hinggakan asma' dan sifat juga hilang daripada alam kesedarannya, tidak ada yang disaksikan melainkan Wujud Mutlak.

Tuhan kurniakan kepada sufi itu apa yang Dia kehendaki, sesuai dengan amanah dan tugas yang akan ditanggungnya kelak. Dalam proses menurun pula sufi kembali sepenuhnya kepada kesedaran biasa yang padanya ada perhatian kepada yang banyak.

Dalam keadaan kesedaran semula itu tidak ada yang menarik minatnya kecuali hidup sebagai Muslim biasa. Mereka hanya menjalankan perintah Tuhan dan mengajak manusia kepada jalan Tuhan.

Setelah mereka menyelesaikan tugas dakwah dan hampir kembali ke Hadrat Ilahi, mereka beralih daripada iman tanpa penyaksian kepada iman secara penyaksian (iman syuhudi).

Jangan menganggap kembali kepada kehidupan dunia sebagai kecacatan atau ditolak daripada majlis Tuhan.

Jangan menyangka fana dalam Tuhan lebih baik daripada berkhidmat kepada makhluk Tuhan. Sufi yang kembali kepada dunia bukan dengan kehendaknya sendiri.

Mereka turun dari kesedaran ‘alam tinggi', keluar daripada suasana penyatuan kepada suasana perpisahan adalah dengan perintah Allah s.w.t. Sufi yang kembali kepada dunia tunduk kepada kehendak Allah s.w.t dengan melepaskan kehendak diri sendiri.

Golongan sufi yang kembali kepada kehidupan dunia itu bergabung dengan golongan ulama, sama-sama bekerja menyebarkan agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w iaitu yang menggabungkan zahir dan batin syariat.

Dakwah adalah pekerjaan yang paling mulia. Dakwat ulama ditimbang dengan darah syuhada dan lebih berat lagi darah ulama tersebut.

Bersambung..............

Tuesday, 24 January 2017

Iman Syuhudi



Rasulullah s.a.w dan para sahabat beriman kepada perkara ghaib seperti beriman kepada Allah s.w.t dan sifat-sifat-Nya berdasarkan kenyataan yang dibawa oleh al-Quran.

Wali-wali Allah yang sempurna juga beriman menurut iman Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Bilangan wali-wali yang sampai kepada peringkat ini setelah melepasi kewalian sufi adalah sedikit.

Selain mereka, ulama dan orang-orang Islam yang awam juga beriman cara demikian. Iman pada kewalian sufi pula bersumberkan kepada penyaksian, dinamakan iman syuhudi. Sufi yang beriman secara syuhudi mungkin bercampur dengan orang ramai dan mungkin juga tinggal sendirian.

Walaupun sufi jenis ini bercampur dengan orang ramai tetapi tidak secara keseluruhan dirinya. batinnya atau hatinya masih memandang ke atas, mencari-cari atau menanti-nanti. Lahirnya sibuk dengan manusia tetapi batinnya karam dengan Tuhan.

Keadaan sufi yang demikian berbeza dengan keadaan Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w berhadap kepada makhluk secara keseluruhan, terlibat jiwa dan raga dalam berdakwah mengajak manusia kepada jalan Allah s.w.t. Sufi yang masih memandang atau mencari-cari ke atas menunjukkan dia belum bebas sepenuhnya daripada pengaruh kefanaan dan mabuk dan dia belum mencapai matlamat, sekalipun dia sudah boleh bergaul dengan orang ramai.

Sufi yang sudah sampai ke penghujung perjalanannya menetap dalam kehidupan harian secara menyeluruh, berhadap kepada kehidupan dunia secara keseluruhan jiwa raga, tanpa mencari-cari ‘yang di atas' atau mencungkil semula pengalaman yang telah dilalui dalam kewalian sufi dahulu.

Bersambung......

Sunday, 22 January 2017

Fana vs Sadar



Sebahagian orang menyangka ilmu tentang Kebenaran Hakiki iaitu ilmu asrar bermaksud ilmu mengenai wahdatul wujud, kesempurnaan Yang Satu dalam yang banyak dan yang banyak dalam Yang Satu, fana, bersatu dengan Tuhan dan baqa bersama Tuhan.

Fahaman yang demikian adalah tidak benar. Doktrin wahdatul wujud dan yang seumpama dengannya masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Wahdatul wujud adalah hasil daripada kefanaan dan mabuk.

Rasulullah s.a.w tidak memasuki suasana fana dan mabuk. Ilmu yang baginda s.a.w bawa adalah ilmu yang muncul dalam kesedaran bukan kelupaan. Ilmu kenabian adalah umpama lautan yang luas. Ilmu kewalian sufi yang kefanaan adalah umpama satu titik air, tetapi bagi orang yang tercampak di padang pasir satu titik air sangat memberi erti kepadanya.

Ada orang menyangka kefanaan lebih tinggi daripada kesedaran. Mungkin mereka memandang kepada kesedaran orang awam. Jika mereka melihat kepada kewalian yang telah sempurna di atas jalan kenabian tentu mereka dapat melihat bahawa Kebenaran Hakiki muncul dalam kesedaran, bukan dalam kefanaan.

 Kewalian yang sempurna bukanlah yang fana terus menerus tetapi adalah yang kembali kepada kesedaran biasa dan meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. Ketika di dunia ini berbakti kepada Tuhan lebih utama daripada fana dalam-Nya.

 Ahli makrifat yang sempurna adalah yang makrifatnya dihidupkan oleh air syariat dan mereka melibatkan diri di dalam kegiatan masyarakat sehingga ke akhir hayat mereka.

Golongan ini tidak mendakwa melihat Tuhan dalam dunia. Mereka mengakui bahawa melihat Tuhan hanya mungkin di akhirat. Mereka melihat maut sebagai jambatan buat mereka sampai kepada Kekasih mereka.

Bersambung............                   

Friday, 20 January 2017

Akidah yang Benar



Syariat mengajarkan akidah dan peraturan yang benar. Rasulullah s.a.w menolak ketuhanan Isa al-Masih, Uzair dan patung-patung kerana ia bertentangan dengan akidah yang diajarkan oleh syariat.

Rasulullah s.a.w menolak keislaman puak Taqif yang meminta dikecualikan daripada mengerjakan sembahyang kerana ia menyalahi peraturan syariat. Abu Bakar as-Siddik memerangi Musailamah bin Hatib yang mendakwa menjadi nabi kerana dakwaan demikian menyalahi akidah yang diajarkan oleh syariat.

Abu Bakar as-Siddik juga memerangi kaum Muslimin yang enggan mengeluarkan zakat selepas Rasulullah s.a.w wafat, kerana perbuatan demikian menyalahi peraturan syariat. Tentera Islam berperang, membunuh dan dibunuh kerana menyebarkan syariat.

Sekali lagi diperingatkan maksud syariat adalah syariat zahir dan syariat batin, meliputi perkara-perkara seperti Islam, iman, perbuatan tubuh badan dan amalan hati. Al-Quran mengajarkan supaya beriman dan beramal salih, jangan dipisahkan keduanya. Tidak ada amal salih tanpa iman. Tidak berdiri iman tanpa amal salih.

Rasulullah s.a.w memiliki dua jenis ilmu.

1. Pertama adalah ilmu yang mengenai hukum hakam dan peraturan, dinamakan ilmu ahkam.
2. Kedua adalah ilmu mengenai perkara ghaib, rahsia dan misteri, dinamakan ilmu asrar.

Ilmu ahkam biasanya dipanggil ilmu fikah dan ilmu asrar dipanggil ilmu tasauf. Istilah ilmu fikah dan ilmu tasauf digunakan selepas zaman Rasulullah s.a.w. Pada zaman baginda s.a.w yang dikenali hanya satu ilmu sahaja iaitu ilmu al-Quran.

Dalam ilmu al-Quran ada bahagian fikah iaitu peraturan dan hukum dan ada bahagian tasauf iaitu perkara ghaib dan kerohanian. Rasulullah s.a.w menyampaikan kedua-dua jenis ilmu tersebut kepada sahabat baginda s.a.w secara bersama, bukan terpisah.

Para sahabat pula memperturunkannya kepada generasi yang datang kemudian. Ulama yang menerima kedua-dua jenis ilmu tersebut dinamakan pewaris nabi. Memiliki satu aspek sahaja tidak dinamakan pewaris.

Ulama yang mengambil bahagian hukum dan peraturan sahaja dinamakan ulama zahir, masih jauh lagi untuk bergelar ulama syariat. Ulama yang mengambil bahagian zahir dan batin itulah yang benar-benar menjadi ulama syariat, pewaris nabi.

Bersambung...

Wednesday, 18 January 2017

FAHAMAN DAN PEGANGAN YANG BENAR



Manusia yang berada di atas jalan yang benar ada dua golongan. Golongan pertama adalah ahli fikah yang berjiwa tasauf dan keduanya adalah ahli tasauf yang berjalan di atas landasan fikah.

Berpegang kepada salah satu di antara fikah dan tasauf bermakna berpegang kepada separuh daripada kebenaran. Berpegang kepada fikah semata-mata dengan menolak tasauf bermakna mengambil bahagia zahir syariat sahaja.

Berpegang kepada tasauf dengan membuang fikah bermakna mengambil batin syariat sahaja. Berpegang kepada zahir syariat tanpa batinnya dibolehkan dan sudah memadai untuk diiktiraf sebagai orang Islam tetapi pegangan yang demikian tidak sempurna.

 Berpegang kepada batin syariat sahaja tanpa zahirnya adalah tidak mungkin, kecuali mereka yang sedang dikuasai oleh jazbah. Mereka yang demikian dimaafkan.

 Kesempurnaan syariat adalah gabungan zahir dan batinnya.

Istilah syariat hendaklah diberi definasi yang lengkap dan benar. Syariat mengandungi tarekat, hakikat dan makrifat.

tarekat, hakikat dan makrifat bukanlah sesuatu yang di luar syariat atau lain daripada syariat. Tindakan mengasingkan syariat, tarekat, hakikat dan makrifat menjadi jalan menjalarnya kekeliruan dalam masyarakat.

Kaum Muslimin haruslah sedar bahawa tarekat adalah satu bahagian daripada syariat. Demikian juga hakikat dan makrifat. Syariat adalah umpama air yang mengalir dan menghidupkan tarekat, hakikat dan makrifat.

Tarekat, hakikat dan makrifat yang tidak dibasahi oleh air syariat adalah umpama pokok yang ditanam di atas batu, tidak ada air menghidupkannya. Syariat adalah umpama nyawa yang memberi kehidupan kepada tarekat, hakikat dan makrifat.

Bersambung......

.

.