Monday, 13 February 2017

Qadha Dan Qadar


Haruslah difahami bahawa Qadak dan Qadar adalah urusan Tuhan yang berkedudukan sama seperti urusan-urusan Tuhan yang lain, yang manusia tidak diberi ilmu mengenainya melainkan sangat sedikit. 


Qadak dan Qadar Tuhan, Kalam Tuhan, rahmat Tuhan, sifat Tuhan, nama Tuhan, murka Tuhan dan apa sahaja yang mengenai Tuhan adalah ketuhanan yang sedikit sangat ilmu manusia mengenainya. Qadak dan Qadar bukanlah perkara yang mampu diolah oleh akal manusia. Jika perkara tersebut diperbahaskan berlarutan ia akan membawa kepada kekufuran dan bidaah. Tidak ada sesiapa yang boleh menjadikan takdir untuk berbuat jahat. 

Iblis telah meletakkan kesalahan kepada takdir lalu dia menjadi durhaka, kafir dan dilaknati oleh Tuhan, dibuang jauh daripada keampunan-Nya dan ditutup jalan untuk kembali kepada-Nya. Adam a.s mengakui kesalahan dirinya, tidak menyalahkan takdir, dan memohon keampunan dari Tuhan. Tuhan mengampunkan Adam as. Dan menyelamatkannya.

Percaya kepada takdir secara yang ditunjukkan oleh Adam a.s adalah benar beriman kepada Qadak dan Qadar. Percaya kepada takdir seperti yang telah ditunjukkan oleh iblis bukanlah beriman kepada Qadak dan Qadar yang disuruh oleh Tuhan. Kaum Muslimin berkewajipan menjaga batas akal agar tidak berpanjangan mencari kunci teka-teki Qadak dan Qadar, sepertimana mereka tidak boleh menghujah kenyataan : “ Allah tidak serupa dengan sesuatu”.

Memang benar Tuhan telah mengadakan ketentuan sejak azali, tetapi ia bukan seperti yang kita fikirkan, sangkakan, khayalkan dan angankan. Apa sahaja yang pada sisi Tuhan tetap tidak serupa dengan apa yang terlintas pada fikiran, khayalan, angan-angan dan perasaan manusia. Sebab itulah iman yang paling tinggi adalah iman siddiqin, iman tanpa hujah tanpa takwil.

Tamat..

Saturday, 11 February 2017

Taat dan Engkar


Syeikh Abdul Qadir Jailani merupakan salah seorang sufi yang tidak jatuh ke dalam fahaman yang disebutkan pada artikel sebelum ini. Syeikh Abdul Qadir memperakui bahawa manusia boleh masuk ke dalam salah satu daripada dua golongan iaitu golongan yang berada di dalam kedamaian, keamanan dan kebahagiaan dalam melakukan ketaatan kepada Tuhan dan golongan ke dua adalah yang berada dalam keadaan tidak selamat, keraguan, keresahan dan kekacauan dalam keengkaran mereka kepada Tuhan dan peraturan-Nya.

Kedua-dua nilai iaitu ketaatan dan keengkaran ada dalam diri manusia, dalam takdir yang Tuhan pertaruhkan pada manusia. Tuhan meletakkan di dalam takdir manusia itu sesuatu yang unik, iaitu keupayaan atau bakat untuk membuat pilihan. Memilih untuk berbuat taat atau berbuat maksiat merupakan bakat asasi manusia yang dkurniakan oleh Tuhan.

Ia merupakan takdir yang Tuhan tentukan sejak azali dan ia juga termasuk dalam perkara Qadak dan Qadar. Bakat memilih itulah yang melahirkan usaha, perasaan, fikiran, pertimbangan dan tindakan. Semua itu adalah sifat atau bakat fitrah manusia. Kebolehan manusia membuat pilihan tidak sedikit pun mencabar kehendak Tuhan kerana memang kehendak Tuhan menjadikan manusia berkeupayaan membuat pilihan, tetapi Tuhan yang memegang kemutlakan.

Dia berkuasa menggunakan Kuasa Mutlak-Nya menurut kehendak-Nya tanpa terikat dengan bakat manusia.

 Jika manusia memilih jalan yang menjadikan kesucian, kebaikan dan keikhlasan lebih menguasai maka sifat-sifat mementingkan diri akan bertukar menjadi suasana kerohanian dan bahagian diri yang engkar akan dikalahkan oleh bahagian diri yang baik. Jika manusia memilih untuk mengikut hawa nafsunya yang rendah dan kesenangan ego dirinya, sifat-sifat engkar akan menguasai bahagian diri yang satu lagi untuk menjadikannya engkar dan jahat.

Orang yang berjaya mengubah sifat mementingkan diri dan hawa nafsu yang rendah kepada cita-cita kerohanian, baginya tidak ada hisab. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru-hara hari kiamat. Orang yang menyedari kesalahannya dan bertaubat akan mengubah haluannya akan mendapati suasana engkar akan bertukar menjadi taat dan beribadat. Semoga mereka mendapat keampunan Allah s.w.t dan diselamatkan ketika menghadapi maut dan hisab.

Bersambung..........

Thursday, 9 February 2017

Keyakinan

Orang jahil yang cuba-cuba menjadi sufi ikutan mudah keliru dengan suasana sufi kumpulan ke tiga. Al-Hallaj yang selalu mengucapkan: “Ana al-Haq” kuat mengerjakan sembahyang dan beristighfar.

Apa perlunya sembahyang dan istighfar kepada orang yang mengaku menjadi Tuhan? Bermacam-macam tafsiran diberikan mengenainya. Orang jahat menjadikannya hujah untuk menyebarkan kekufuran. Ada yang mengatakan bahawa ahli makrifat mengerjakan syariat bukan untuk dirinya sendiri tetapi hanyalah untuk memberi pengajaran kepada orang lain yang belum bermakrifat.

 
 Ulama syariat (zahir dan batin) mengerti  apa yang menguasai hati al-Hallaj, Ibnu Arabi dan sufi lain yang seperti mereka. Mereka adalah umpama pemuda yang sedang dilamun cinta. Darah muda yang diresapi oleh arak cinta membuat mereka mabuk dan hilang pertimbangan. Yang kelihatan kepada mereka hanyalah yang dicintai, yang lain tidak kelihatan lagi. Tetapi setiap kali mendatangi Kekasih, mereka diperingatkan oleh Kekasih mereka : “Cintailah apa yang Aku cinta demi cintamu kepada-Ku!” Si pencinta memperhambakan diri kepada Kekasihnya dan berkhidmat kepada yang dikasihi oleh Kekasihnya.

Si pencinta sering memohon kemaafan kepada Kekasihnya kerana dia melihat kekurangan pada apa yang dipersembahkan untuk Kekasihnya. Sufi-asyikin bermunajat: “Wahai Kekasih. Aku larut dalam CintaMu. Air CintaMu memenuhi setiap zarah wujudku. Zarah-zarah yang hidup dengan air CintaMu hanya mendapat kepuasan dalam salat demi mengingatiMu namun, apabila hendak dipersembahkan kepadaMu tidak ada satu pun layak dipersembahkan, sekalipun mengalir darah dari mataku dalam mengerjakannya. Maaf, wahai Kekasih.

Maaf sebanyak keampunanMu mendinding kemurkaanMu”.  Sufi golongan ini perlu disimpati. Seberat-berat ujian bala bencana berat lagi kerinduan kepada Tuhan yang menguasai hati para pencinta-Nya. Sebagai rahmat dari-Nya sebahagian beban tersebut terangkat melalui salat.

 Sebahagian sufi meletakkan segala perkara kepada takdir semata-mata. Tuhan yang memiliki kekuasaan Mutlak. Dia menguasai dan mengadakan peraturan untuk semua makhluk-Nya. Tuhan telah mengadakan ketentuan awal yang mengikat segala sesuatu. Oleh yang demikian sufi tersebut enggan memanggil sesuatu itu baik atau buruk seperti yang dinyatakan oleh syariat.

Mereka tenggelam di dalam Qadar Tuhan sehingga tidak ada ruang untuk amr-Nya (peraturan-Nya). Mereka asyik menyaksikan Rububiah sehingga tidak berusaha melakukan tanggungjawab terhadap Uluhiyah-Nya. Kebanyakan mereka tidak melihat ruang untuk berdoa, berdakwah dan berjihad. Mereka percaya segala perkara perlu diserahkan bulat-bulat kepada Tuhan dan mereka perlu menerima apa sahaja yang sampai kepada mereka. Mereka tidak perlu mencari kebaikan dan menghindarkan keburukan. Mereka enggan memperbaiki kerosakan dan menentang kejahatan dan kezaliman.

Bersambung..........

Tuesday, 7 February 2017

Tarekat Sufi


Seseorang yang mahu memasuki aliran tarekat perlulah mengetahui persamaan dan perbezaan di antara jalan kenabian dan jalan kesufian. Pengetahuan tersebut boleh membantunya untuk memilih amalan yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunah dan menolak ajaran yang bercanggah dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Memelihara Sunah Rasulullah s.a.w boleh mengelakkan ahli suluk daripada terperangkap di dalam pusaran wahdatul wujud.

Wahdatul wujud bukanlah syarat bagi menyempurnakan perjalanan kesufian seperti memperolehi fana dan baqa. wahdatul syuhud (menyaksikan satu wujud) sudah memadai untuk melalui peringkat tersebut. wahdatul syuhud yang dialami dengan disertai oleh keyakinan kepada ajaran Rasulullah s.a.w akan membawa seseorang melepasi penyaksian, suara, gambaran, cahaya, warna dan rupa-bentuk misal yang ditemui dalam perjalanan. Keyakinan kepada ajaran Rasulullah s.a.w bahawa Allah s.w.t tidak menyamai sesuatu menjadi tenaga yang kuat menarik ahli suluk keluar daripada medan wahdatul wujud.

  Tidak semua sufi terlibat dengan mabuk dan hilang kesedaran. Ada sufi yang melalui jalan yang mengeluarkan pengalaman yang bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunah, tidak ada padanya mabuk, hilang kesedaran dan bercakap menyalahi syariat. Di antara sufi yang termasuk di dalam golongan ini adalah Ibrahim Adham, Abdul Kadir Jailani dan Junaid al-Baghdadi.

Ada juga golongan sufi yang memasuki pengalaman mabuk, fana, hilang kesedaran dan mengeluarkan ucapan latah, tetapi apabila mereka kembali sedar mereka mengakui kesilapan pada kelakuan mereka. Bila tidak dikuasai oleh jazbah mereka berpegang teguh kepada Sunah Rasulullah s.a.w. Di antara sufi yang termasuk ke dalam golongan ini adalah Abu Yazid, an-Nuri dan Syibli. Sufi golongan ke tiga pula berpegang kepada fahaman yang terang-terang bercanggah dengan prinsip Islam. Di antara mereka adalah Abu Mansur al-Hallaj dan Ibnu Arabi.

Sufi kumpulan pertama dipelihara sehingga air syariat yang mereka bawa tidak berubah warna, malah pada setiap peningkatan kerohanian air tersebut menjadi semakin jernih. Apabila mereka meninggalkan kewalian cara sufi dan masuk kepada kewalian cara kenabian, air syariat mereka sudah menjadi sangat jernih dan murni.

Sufi kumpulan ke dua pula air syariat mereka berubah warna pada satu peringkat, seumpama tuak menjadi masam dan mereka mengalami mabuk, tetapi dengan rahmat Allah s.w.t mereka dibawa melepasi peringkat mabuk itu dan kembali kepada kesedaran semula. Sufi kumpulan ke tiga hidup terus menerus di dalam mabuk. Walaupun air syariat mereka sudah berubah warna namun, zat air yang asli masih ada dengan mereka. Oleh itu mereka tetap mengerjakan sembahyang dan beristighfar.

Bersambung...........

Sunday, 5 February 2017

Jalan Kesufian Dan Jalan Kenabian


Jalan sufi pada satu seginya menyamai jalan kenabian. Sufi melakukan amalan sembahyang, puasa, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir. Amalan yang demikian diambil dari al-Quran dan as-Sunah.

Ia kemudian disusun bagi memudahkan pengikut satu-satu tarekat itu mengamalkannya bagi mendapatkan kesan yang maksima daripada amalan tersebut. Selain daripada amalan yang bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah, terdapat juga bahagian yang benar-benar baharu, tidak kedapatan pada jalan kenabian.

Bahagian tersebut adalah yang mengandungi fana, baqa, bersatu dengan Tuhan dan latihan kerohanian yang melahirkan pengalaman tersebut. Bahagian utama jalan kesufian adalah zikir dan tafakur. Bahagian yang paling menonjol adalah pengalaman fana dan baqa. Bahagian yang ada urusan dakwah, jihad dan berbakti kepada orang ramai diberi perhatian yang sedikit sahaja.

 Perbezaan yang paling ketara di antara jalan kesufian dengan jalan kenabian adalah pada jalan kesufian terdapat dua keadaan yang terpisah. Pada peringkat pertama sufi membenamkan diri mereka ke dalam Tuhan, mengalami fana dan bersatu. Kemudian sufi mengalami perpisahan dan baqa.

Seterusnya sufi kembali kepada kesedaran normal dan kepada dunia untuk berkhidmat kepada orang ramai. Peringkat naik kepada Tuhan dan turun kepada dunia merupakan dua peringkat yang berbeza dalam perjalanan sufi. Pada jalan kenabian pula tidak ada fana dan baqa, tidak ada naik dan turun.

Hubungan dengan Tuhan dan hubungan dengan sesama manusia bukanlah dua peringkat yang terpisah pada jalan kenabian. Kedua-dua peringkat tersebut tidak datang secara berasingan. Wali pada jalan kenabian tidak hilang perhatian kepada makhluk ketika sangat hampir dengan Tuhan dan tidak membelakangi Tuhan ketika melayani makhluk.

Pada jalan kenabian berkhidmat kepada sesama makhluk merupakan ketaatan kepada Allah s.w.t, didorong oleh rasa kasih dan ingat kepada-Nya. Pada jalan kenabian makhluk tidak menghijab Tuhan dan kehadiran Tuhan dalam ingatan tidak melenyapkan makhluk.

Bersambung..........

Friday, 3 February 2017

Tauladan


Risalat Rasulullah s.a.w memperakui ada kepercayaan yang benar dan ada kepercayaan yang salah. Risalat membezakan yang baik dengan yang jahat, yang benar dengan yang batal. Risalat dengan jelas dan tegas mengatakan bahawa manusia bertanggungjawab ke atas perbuatannya, kepercayaanya dan sikapnya.

Tuhan akan mengadili manusia dan akan memberi balasan kepada yang baik dan menghukum yang jahat. Risalat menolak fahaman sebahagian manusia yang meletakkan kesalahan kepada Tuhan.



 Rasulullah s.a.w mengajarkan bahawa manusia adalah hamba Tuhan. Tuhan ciptakan manusia supaya mereka berbakti kepada-Nya. Kehambaan atau ubudiah merupakan kemuncak perjalanan suluk orang sufi. Kehambaan yang sempurna adalah yang berbakti kepada Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga, beriman kepada firman-Nya dengan disertai oleh kepatuhan dan ketaatan, menerima peraturan syarak, berdakwah ke jalan-Nya dan menegakkan kerajaan-Nya di bumi.

Setiap Muslim, termasuklah wali Allah, mesti menjadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w sebagai contoh tauladan. Semakin hampir dengan Sunah baginda s.a.w semakin benar dan baiklah seseorang Muslim itu. Tidak ada wali yang bebas daripada Sunah Rasulullah s.a.w atau yang boleh menyamai baginda s.a.w. Apa juga kelebihan dan kemuliaan yang diperolehi oleh seseorang wali adalah kerana syafaat baginda s.a.w dan kerana mengikuti Sunah baginda s.a.w.

Bersambung.........

Wednesday, 1 February 2017

Fitrah


Tauhid af’al, tauhid asma’, tauhid sifat dan tauhid zat bukanlah ajaran yang terdapat dalam risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w tetapi ia adalah pengalaman kerohanian yang berlaku dalam kewalian sufi.

Pengalaman yang demikian hanya untuk sufi yang mengalaminya sementara orang ramai wajib berpegang kepada risalat Rasulullah s.a.w. Orang ramai yang sengaja berpegang kepada fahaman sufi yang dalam mabuk, yang menyalahi syariat, hukumnya adalah kufur. Orang sengaja menyengutukan perbuatannya dan dirinya dengan perbuatan Tuhan dan Zat Tuhan sama keadaannya dengan orang Nasrani yang menyengutukan al-Masih dengan Tuhan. Al-Quran mengecam perbuatan kaum Nasrani itu dan perbuatan demikian dikira sebagai perbuatan kaum musyrikin.



 Risalat Rasulullah s.a.w memperakui kewujudan fitrah manusia. Dalam fitrah itu ada nilai-nilai baik dan buruk, cantik dan hodoh, sempurna dan cacat dan lain-lain. Tuhan kurniakan kepada seseorang manusia itu kediriannya sendiri untuk wujud sebagai satu individu, tidak perlu berebut pada satu kewujudan seperti Adam atau Muhammad. Tuhan ciptakan untuk manusia keupayaan memilih, fikiran, tindakan dan perasaan.

Tuhan adalah Pencipta bukan yang dikuasai oleh ciptaan-Nya. Kepercayaan manusia bukan kepercayaan Tuhan. Perasaan manusia bukan perasaan Tuhan. Tindakan manusia bukan tindakan Tuhan. Tuhan tidak dikongkong oleh kepercayaan, perasaan dan tindakan manusia. Manusia yang merasai bahagia dan manusia juga yang merasai kecelakaan. Tidak ada jalan buat manusia untuk mempersekutukan apa yang ada dengannya dengan Tuhan.

Bersambung.............

.

.